Projek Jambatan Pemangkin Sistem Perhubungan Jalan Kawasan Ulu Merurun Julau

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


JULAU: Projek Jambatan Jalan Ulu Merurun akan menjadi pemangkin kepada sistem perhubungan jalan ke kawasan Ulu Merurun di Julau.
 
Projek meliputi pembinaan jambatan sepanjang 24 meter dan naiktaraf jalan konkrit sepanjang 1.6 kilometer yang bernilai
RM1,376,000 telah bermula pada 10 Februari 2024 dan dijadual siap pada 9 Februari 2025.
 
Majlis Simbolik Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Roland Duat Jubin pada Selasa.
 
Dalam sidang media, beliau yakin projek ini sedikit sebanyak akan memberi keselesaan kepada penduduk rumah-rumah panjang di Ulu Merurun meskipun masih banyak kawasan yang hanya dapat dihubungkan melalui jalan darat bertanah.
 
Beliau juga berharap kerajaan negeri akan meluluskan lebih banyak peruntukan agar semua rumah-rumah panjang di Ulu Merurun dapat dihubungkan dengan jalan yang lebih baik sekurang-kurangnya jalan konkrit berbanding jalan tanah yang licin serta berbahaya.
 
Sebelum ini, jika berlaku banjir maka jalan ini akan dinaiki air menyebabkan penduduk akan terputus hubungan dengan kawasan luar.
 
Roland Duat juga menyeru rakyat di Ulu Merurun terus yakin dan memberi sokongan kepada kerajaan agar lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan.
 
Selesai simbolik pecah tanah, beliau bergerak ke Rumah Manila, Lubok Langgir, Ulu Merurun untuk menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat.
 
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Bryan Fung, Pegawai Daerah Julau Wee Teck Min, Ketua-ketua Jabatan, Tuai-tuai Rumah di kawasan Ulu Merurun, Julau. - EDISI UKAS