Dewan Masyarakat Baru Kampung Gumpey Bukti Komitmen Projek RTP

Disiarkan pada 15 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



GEDONG: Dewan Masyarakat yang baru di Kampung Gumpey menandakan komitmen kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam meningkatkan kemudahan awam dan infrastruktur luar bandar.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, dewan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Ogos 2023 ini akan berfungsi sebagai pusat pertemuan masyarakat serta tempat penganjuran aktiviti sosial, budaya, pendidikan, dan pelbagai program lain yang memberi manfaat kepada penduduk kampung.

Rodiyah berharap penduduk Kampung Gumpey akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini untuk memperkukuhkan perpaduan dan semangat kebersamaan di komuniti setempat.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian dewan tersebut dan sambutan bulan kemerdekaan peringkat Kampung Gumpey 2024 pada Sabtu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Wakil Khas ADUN Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais, serta Naib Ketua PBB Gedong, Ali Bujang. –EDISI UKAS