KUCHING: Kerajaan Sarawak sanggup berbelanja besar untuk menganjurkan temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA pada tahun 2027 demi untuk pembangunan sukan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata atlet Sarawak perlu terus diberi pendedahan hingga ke peringkat tinggi agar dapat muncul sebagai juara dunia sekali gus mengikis label jaguh kampung.
Katanya, melalui penganjuran Sukan SEA juga akan meletakkan Sarawak di peta sukan antarabangsa dan dikenali rakyat dari negara luar.
“Kos untuk menganjurkan Sukan SEA ini agak tinggi, tetapi demi pembangunan anak muda lebih-lebih lagi anak muda Sarawak, saya sanggup untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA.
“Apabila ini berlaku, negara-negara yang datang tentu sekali akan tahu di mana Sarawak, status kita dan juga prestasi anak muda Sarawak kerana sukan ini adalah salah satu dari platform pembangunan kita.”
Beliau berucap demikian semasa Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak SUKMA XXI Sarawak 2024 di Riverside Majestic Hotel pada Sabtu.
Tegasnya, atlet Sarawak harus diberi pendedahan hingga ke peringkat lebih tinggi agar bakat mereka terus digilap hingga berjaya mengikut jejak langkah atlet negara seperti Dato Pandelela Rinong Pamg dan Bonnie Bunyau Gustin.
Dalam hal ini katanya, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) amat menekankan pembangunan bakat yang memfokuskan kepada keyakinan dan nilai diri serta keinginan atlet untuk berjaya.
Datuk Patinggi Abang Zohari juga menaruh harapan tinggi agar Sarawak turut merangkul gelaran juara keseluruhan pada kempen Para SUKMA XXI dijadual berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.
Sebagai menyuntik semangat atlet, beliau mengumumkan jumlah insentif yang diterima pemenang pingat Para SUKMA adalah sama yang diterima atlet SUKMA.
“Kita memberi insentif ini sebagai salah satu usaha pembangunan kita untuk para atlet samada kurang upaya termasuk mereka yang berupaya,” jelas Premier Sarawak lagi.
Sementara itu, kemuncak majlis dilengkapkan dengan penyerahan Piala Pusingan dan Piala Iringan SUKMA kepada Premier Sarawak oleh atlet renang, Kelly Yao Teo dan atlet olahraga, Jonah Chang Rigan.
Kedua-dua atlet itu diiringi atlet wushu Stephanie Chai Ern Ngu yang membawa bendera.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyerahan insentif kepada semua pemenang pingat berjumlah keseluruhan RM1,834,000.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah,
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan merangkap CDM SUKMA XXI Sarawak 2024 Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA dan PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Barisan Kabinet Sarawak, Dif-Dif Kenamaan serta Ketua-Ketua Jabatan. - EDISI UKAS