JKKK & Biro Wanita Kampung Melayu Terus Terima Bantuan Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LUBOK ANTU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Kampung Melayu terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Sarawak melalui wakil rakyat mereka.

Terbaru, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, lndustri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh telah menyalurkan dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000 kepada JKKK Kampung Melayu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada JKKK dan RM5,000 kepada Biro Wanita Kampung Melayu. 

Sumbangan dana tersebut diumumkan beliau sempena kunjungan Hari Raya Aidilfitri di kampung berkenaan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi turut meluluskan dana RTP sebanyak RM150,000 dan dana MRP sebanyak RM8,000 kepada JKKK kampung berkenaan.

Penyaluran bantuan dana daripada pihak kerajaan ini diharap dapat merancakkan lagi pembangunan dan penganjuran aktiviti di peringkat akar umbi pada masa hadapan.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia Mikai Mandau, Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Tommy Laman, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN) Malaysia Jampi Tutong, Timbalan Pengerusi MDLA Ugel Jok, Penyelia Pusat Khidmat Batang Ai Larkin Gol dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging. -EDISI UKAS