Tiga Projek Utama Sarawak Diluluskan, Tingkatkan Pengeluaran Produk Agromakanan Negara

Disiarkan pada 14 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


SERDANG: Tiga projek utama di Sarawak telah diluluskan di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024 bagi meningkatkan pengeluaran produk agromakanan negara ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom telah menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Bagi Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Dengan Kerjasama Kerajaan Sarawak Di Bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan.

Tiga projek tersebut termasuk projek tanaman nanas di Kampung Sungai Mata Samarahan, projek tanam baru kopi di Daerah Belaga dan projek menaiktaraf pagar ternakan kerbau di Daerah Lawas, khususnya di Long Semadoh dan Long Sukang, Ba’Kelalan.

Projek yang masing-masing menelan belanja sebanyak RM4 juta, RM1.5 juta dan RM800,000 ini merupakan inisiatif Kerajaan melalui Bajet 2024, dengan peruntukan sebanyak RM150 juta diluluskan untuk tujuan mengoptimumkan tanah melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Stephen Rundi juga berkesempatan menyempurnakan perasmian Pavilion Sarawak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor di sini pada 11 sehingga 22 September 2024.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali dan Setiausaha Tetap M-FICORD Sirai Daha. -EDISI UKAS