SEBUYAU: Jabatan Agama Islam Bahagian Samarahan dan Pusat Khidmat DUN Sebuyau bersama Masjid Darul Aman Sebangan telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Sebangan di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.
Acara bermula dengan perarakan kontinjen dan pertandingan sepanduk, melibatkan 150 peserta dari empat kampung di Sebangan, serta ceramah bertajuk "Jom Ikut Nabi" oleh Ustaz Wan Mohamad Hanif Saifuddin Wan Ahmad.
Dato Sri Julaihi dalam ucapannya menekankan kepentingan sambutan ini untuk menghayati perjuangan Rasulullah SAW dan menggalakkan umat Islam berselawat bagi menghayati sirah perjalanan dan perjuangan Rasulullah SAW, selain menyemai kasih sayang kepada baginda.
Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah, di mana Kampung Sampat muncul sebagai johan sepanduk dan johan keseluruhan.
Hadir sama Wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Ajis Ahmad, dan tetamu kehormat lain. – EDISI UKAS