BAU: Seramai 43 individu dari daerah Bau telah menerima sijil pengiktirafan sebagai Bumiputera Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 85 sijil dikeluarkan melalui Pejabat Daerah Bau setakat ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, khususnya pentadbiran Pejabat Daerah Bau, atas usaha gigih menyelesaikan isu pengiktirafan status Bumiputera.
"Kami sangat bersyukur kerana banyak isu pengiktirafan Bumiputera dapat diselesaikan menerusi kerajaan negeri, terutama melalui Pejabat Daerah Bau," katanya.
Beliau turut menambah, pada majlis kali ini, mereka menjemput Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datu Ik Pahon, untuk menyampaikan sijil bagi pihak kerajaan sebagai simbolik penerimaan mereka sebagai Bidayuh.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Status Bumiputera Sarawak di Kompleks Pejabat Daerah Bau, pada Jumaat.
Dato Henry juga menekankan kepentingan sijil tersebut untuk masa depan pemohon, terutamanya dalam aspek hak pemilikan tanah NCR serta menikmati pelbagai kemudahan yang diperuntukkan kepada Bumiputera. -EDISI UKAS