KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) terus memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi luar bandar Sarawak melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa organisasi utama.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen RECODA dalam pembangunan luar bandar melalui inisiatif strategik dan bersepadu.
Antaranya, MoU dengan Carus Group, Nex Ecoventure, dan Samling Group, yang menyokong projek transformasi seperti Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, dan Pembungkusan (CPPC) serta Stesen Pertanian Dataran Tinggi Bersepadu (IHAS) di Betong, Sarikei, dan Long Banga.
Kerjasama ini bertujuan mengoptimumkan pengeluaran, mengurus peralatan, memantau rantaian bekalan, dan meningkatkan kecekapan operasi selain keutamaan yang diberikan kepada pemberdayaan petani tempatan melalui pemindahan ilmu dan amalan pertanian mesra alam.
Di samping itu, RECODA turut menjalin kerjasama melalui MoU dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Reka Jaya Plantation, yang bertujuan memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta memperkasakan komuniti melalui perkongsian ilmu, peningkatan kemahiran dan penglibatan aktif dengan industri tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni, dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kerjasama ini bukan sahaja menandakan pencapaian penting bagi RECODA, tetapi juga membuka jalan kepada perkembangan masa hadapan.
"Dengan kekuatan setiap rakan kongsi, RECODA bersedia untuk memperluaskan inisiatif ini ke wilayah lain di Sarawak, dengan potensi memperkenalkan program berfokuskan inovasi teknologi, pengembangan pasaran, dan pengurusan sumber yang lestari.
"MOU ini merupakan langkah besar dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan lestari dan perkongsian ilmu dan kami yakin kerjasama ini akan membawa peluang dan impak positif pada masa hadapan," ujarnya.
Majlis pertukaran MoU tersebut diserikan oleh kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, yang juga penaung Persatuan Gastronomi Sarawak, bersama tetamu kehormat lain.
Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2024, Edisi Hari Malaysia, dijangka menarik ribuan pengunjung di Kampung Budaya Sarawak dan berlangsung dari 14 hingga 15 September.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah - EDISI UKAS