Kerajaan Sarawak Terus Komited Pelihara Kebajikan Rumah Ibadat

Disiarkan pada 14 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan kebajikan rumah-rumah ibadat di seluruh negeri ini terpelihara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), dana yang signifikan telah diperuntukkan bagi menyokong pelbagai projek pembangunan, penyelenggaraan, dan pembaikan rumah-rumah ibadat.

Beliau menegaskan bahawa setakat ini, sebanyak 778 projek telah berjaya disiapkan dengan jumlah kos RM100.4 juta dan 623 lagi projek sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM148.9 juta.

"Projek-projek ini meliputi pelbagai kerja termasuk pembinaan baru, penyelenggaraan, pembaikan, renovasi, serta pembelian peralatan dan instrumen keagamaan bagi rumah-rumah ibadat," katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, semasa Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Suarah Sri Aman, pada Sabtu.

Sementara itu, Premier Sarawak turut memberi jaminan bahawa usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai sebahagian daripada janji mereka untuk membangunkan Sarawak secara inklusif.

"Dengan termeterainya perjanjian yang lebih baik bersama Kerajaan Persekutuan menerusi MA63, kami optimis untuk membangunkan Sarawak yang saiznya hampir menyamai seluruh Semenanjung Malaysia, kecuali Perlis.
“Apa yang kami tuntut daripada pemimpin Persekutuan adalah adil dan berdasarkan hak-hak kami yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63," tegas beliau.

Datuk Patinggi Abang Zohari turut menggariskan komitmen kerajaan GPS untuk terus memperjuangkan kemajuan Sarawak, agar anak-anak Sarawak dapat maju setara bersama rakyat Malaysia yang lain.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menyeru agar para pemimpin agama terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan, keamanan, dan toleransi kepada masyarakat, bagi memastikan nilai-nilai pluralisme dan kepelbagaian terus dihargai.

"Mari kita bersama-sama meraikan peristiwa yang bermakna ini dengan doa dan harapan, agar para pemimpin kita terus membawa Sarawak dan Malaysia ke arah kemajuan yang lebih cemerlang," tambah beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta isteri beliau, Datin Sri Kelly Rebid, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik serta isteri, Datin Daisy Dayus, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS