Bekalan Tenaga Elektrik Bintulu Ditingkatkan Kepada 1,500 Megawatt Menjelang 2028

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bekalan tenaga elektrik di Bintulu akan ditingkatkan kepada sebanyak 1,500 megawatt menjelang 2028.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kapasiti tenaga elektrik itu akan dipertingkatkan kepada 1,000 megawatt pada fasa pertama melalui kitaran turbin gas.

Menurutnya, proses penjanaan elektrik melalui turbin gas lebih cekap dan kompetitif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan industri.

“Hari ini saya hendak mengumumkan bahawa bekalan tenaga elektrik di akan dinaikkan hingga 1,000 megawat menerusi kitaran turbin gas
“Jadi fasa pertama kita akan tingkatkan tenaga elektrik kepada 1,000 megawat, manakala fasa kedua akan menjana 500 megawatt lagi pada tahun 2028, ini bermakna Bintulu akan dibekalkan tenaga elektrik 1,500 megawatt,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu bahawa Bintulu akan menerokai cara baharu untuk penjanaan elektrik melalui tenaga kinetik.

“Saya hendak mencuba cara baharu menggunakan gelombang iaitu tenaga kinetik. Kinetik bermakna alunan gelombang mobiliti.
“Saya akan cuba di Samalaju di mana kita sudah ada jeti yang ada lebih kurang 3.5 kilometer dengan menggunakan alunan gelombang,”katanya.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, sekiranya perkara itu berjaya maka Bintulu akan menjadi lokasi yang pertama menggunakan gelombang tenaga elektrik.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS