Sarawak Mahu Pelabuhan Bintulu Jadi Hab Terpenting Di Rantau Asia

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai hab terpenting di rantau Asia apabila proses pengambilalihan pelabuhan itu selesai pada Jun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan Sarawak merancang secara menyeluruh pembangunan pelabuhannya yang merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.

“Dan saya ada rancangan untuk Pelabuhan Bintulu ini tapi saya tidak boleh beritahu dulu. Apabila Pelabuhan Bintulu diambil alih, saya ada rancangan dan ia akan menjadi satu hab yang terpenting di rantau Asia ini,”tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepada semua rakyat di negeri ini untuk terus bekerjasama dan mengekalkan perpaduan dalam membangunkan Sarawak.

“Kerjasama dan perpaduan penting untuk kita menjanakan pembangunan kita di negeri Sarawak,”katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali,Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS