SARIKEI: Para guru memainkan peranan penting dalam melahirkan inovasi bagi memperkasakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) khususnya dalam era pendidikan digital masa kini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif inovatif daripada para guru amat bernilai dalam memacu transformasi PdP seiring dengan kemajuan teknologi digital yang semakin berkembang pesat.
Beliau turut menekankan bahawa ramai guru di daerah Sarikei sudah pun memiliki kemahiran ICT yang tinggi yang dapat digunakan untuk membangunkan inovasi digital demi meningkatkan pencapaian akademik para pelajar.
"Kami yakin bahawa pertandingan inovasi seperti ini akan terus mendorong lebih ramai guru untuk terlibat secara aktif, memastikan pendidikan di Sarikei sentiasa relevan dan selari dengan perkembangan semasa," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa'ee pada Majlis Pelancaran Koleksi Projek Inovasi PdP Guru dan Penyampaian Anugerah Inovasi Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei Tahun 2024 pada Khamis.
Dato Sri Roland Sagah turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) akan terus menyokong usaha para guru di semua peringkat, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam memastikan kualiti infrastruktur dan pendidikan di Sarawak sentiasa terpelihara.
Hadir sama Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Siti Zulaiha Ibrahim, Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgong serta tetamu kehormat lain. – EDISI UKAS