309 Graduan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak Diraikan

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Seramai 309 orang graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak diraikan pada majlis graduasi universiti itu pada Rabu.
 
Majlis graduasi tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Universiti Teknologi Swinburne William Lye OAM KC FRI yang turut menyampaikan anugerah kepada para graduan.
 
Semasa berucap beliau berkata, para graduan perlu berusaha bersaing dalam pasaran kerja dan terus menggilap potensi diri.
 
"Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berwawasan yang telah membawa institusi cemerlang ini ke Sarawak dan kepada kerajaan yang telah menyokong institusi ini.
 
"Anda graduan hari ini, anda lulus dengan pengetahuan mendalam tentang disiplin anda, kemahiran dan sifat kebolehpercayaan diri yang anda perolehi daripada Swinburne.
 
"Pastinya bagi anda yang terus menetap di sini, anda adalah peneraju enjin masa depan untuk membina negeri Sarawak yang hebat ini," katanya semasa berucap dalam Majlis Graduasi Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
 
Majlis itu menyaksikan seramai 275 orang graduan menerima skrol masing-masing.
 
Graduan tersebut terdiri daripada 123 orang mahasiswa dalam bidang perniagaan, 79 dalam kejuruteraan, 47 dalam pengkomputeran, 18 dalam reka bentuk, empat dalam sains, media dan komunikasi serta 12 pelajar Diploma Perniagaan Pengurusan.
 
Anugerah turut disampaikan kepada 19 graduan daripada program Sarjana dengan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa), Sarjana Sains (Penyelidikan), Sarjana Sastera (TESOL), Sarjana Teknologi Maklumat dan Sarjana Kejuruteraan (Penyelidikan) Sarjana Teknologi Maklumat universiti.
 
Dalam pada itu, tiga graduan Doktor Falsafah turut menerima anugerah mereka pada majlis itu iaitu masing-masing dari bidang Kejuruteraan, Sistem Maklumat serta Kemanusiaan, Seni dan Sains Sosial.
 
Graduan yang diraikan terdiri daripada graduan dari Malaysia dan luar negara seperti dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Sweden, China, India, Sri Lanka, Yaman, Zimbabwe dan Filipina.
 
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Pendidikan, Pengalaman dan Kebolehkerjaan), Profesor Laura-Anne Bull, Naib Canselor Pro (Penglibatan Global) Dr Douglas Proctor, Pengarah Transformasi Pembelajaran Profesor Madya Liew Mann, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Ir Profesor Lau Hieng Ho, Ahli Majlis, Lembaga Pengarah dan Kumpulan Eksekutif Swinburne Sarawak. -EDISI UKAS