Jalan Baharu Akan Rancakkkan Pembangunan Kampung Jemoreng

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
MATU: Sebuah jalan baharu akan dibina di Kampung Jemoreng bagi merancakkan lagi pembangunan di kampung berkenaan.
 
Berita gembira itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya sambil menambah ia akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Mid Term Review) dengan kos bernilai RM23.6 juta.
 
Katanya, kelulusan awal sebanyak RM500,000 telah diturunkan bagi kerja-kerja awalan dan sedang berjalan.
 
"Jalan baharu ini terletak di belakang Dewan Kampung Jemoreng telah diluluskan di bawah RMK bernilai RM23.6 juta.
 
“Kelulusan awal sebanyak RM500,000 telah diturunkan bagi kerja-kerja awalan sedang berjalan dan kita mengharapkan ia akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Kampung Jemoreng.
 
“Terima kasih pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyokong usaha kita ini," katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Peringkat Kampung Jemoreng Matu pada Selasa.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu turut memaklumkan kelulusan pembinaan Dewan Suarah Matu Baharu seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bernilai RM20.3 juta.
 
Katanya, dewan suarah itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti Pusat Incubator dan kawasan rekreasi di mana tapak Dewan Suarah Matu yang lama yang akan dirobohkan.
 
Mengenai dewan baharu yang dirancang untuk dibina bersebelahan dewan sedia ada pula, beliau berkata atas nasihat dari pihak Pejabat Residen,  tempat baru akan dipilih bersesuaian dengan jalan baharu nanti dan peruntukan akan diusahakan melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
 
Datuk Dr Juanda turut menyarankan agar penduduk kampung bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) saling berbincang dan merancang untuk menanam pokok Sekiu di kawasan Kampung Jemoreng.
 
"Setelah program menanam anak pokok Sekiu sebanyak 2500 anak pokok bersama pihak Jabatan Hutan yang lalu, cadangan saya untuk menanam pokok ini di dalam kawasan kampung dengan tujuan untuk menarik pelancong dan ianya akan memudahkan penduduk kampung membawa pelancong untuk melihat pokok Sekiu dengan lebih dekat," ujarnya.
 
Majlis ramah tamah Aidilfitri tersebut anjuran Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Jemoreng, Matu diadakan di Medan An-Najam Kampung Jemoreng, Matu.
 
Hadir sama isteri Datuk Dr Juanda, Datin Shanti Achmad, wakil Pemangku Pegawai Daerah Matu SAO Cliff Wilibrode dan Penghulu Kampung Jemoreng Penghulu Mesaleh@Che Jeni Shahdan. - EDISI UKAS