STIU Komited Tingkatkan Kecekapan Perkhidmatan Awam Sarawak

Posted on 12 Sep 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) terus komited dalam usaha mempertingkat kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam di Sarawak.

Ini dibuktikan melalui penyertaan STIU dalam sesi bimbingan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF) yang berlangsung dari 10 hingga 12 September 2024 di Kuching.

Program ini bertujuan mempersiapkan STIU untuk memperoleh pensijilan MBEF pada November 2024.

Sepanjang sesi tersebut, peserta mengikuti bengkel intensif dan latihan yang dikendalikan oleh konsultan MBEF, Ts. Dr. Zarak Shaifuddin, dengan penekanan kepada pengoptimuman proses, pengurusan kualiti, serta inovasi strategik.

Pengarah STIU, Superi Awang Said dalam satu kenyataan media pada Khamis, menyifatkan pensijilan MBEF sebagai langkah penting untuk menetapkan piawaian kecemerlangan di sektor awam.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan memenuhi standard yang tinggi, dengan fokus kepada kecekapan dan inovasi," katanya.

Superi juga menegaskan bahawa dedikasi pegawai dalam menerapkan prinsip-prinsip kecemerlangan ini merupakan kunci kejayaan STIU dalam memperoleh pensijilan tersebut.

Beliau yakin amalan terbaik di peringkat antarabangsa akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan awam Sarawak. -EDISI UKAS