Pembinaan Jalan Baru Kampung Pulat Balingian Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 12 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


BALINGIAN: Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bernilai RM100,000 membabitkan pembinaan kemudahan jalan baru di Kampung Pulat Balingian siap sepenuhnya.

Majlis penyerahan tapak siap projek telah disempurnakan oleh Kontraktor Tellian Active Enterprise kepada Ketua Kampung Pulat Balingian, KK Harun Ulis pada Rabu.

Ia turut disaksikan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Balingian, Che Ghazali Arbi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Mohamad Fa'eez selaku agensi pelaksana.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Harun Ulis menzahirkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi kerana telah menyediakan infrastruktur untuk kemudahan penduduk kampung termasuk projek yang telah siap ini.

Sementara itu, Che Ghazali yang mewakili Abdul Yakub mengharapkan agar penduduk kampung dapat memanfaatkan kemudahan yang telah siap ini dengan sepenuhnya.

Turut hadir Pejabat Daerah Kecil Balingian Dominic Ahjun, Pejabat Daerah Mukah Nur Hidayah Kassim dan Penghulu Kuala Balingian Merjuki Sahari. - EDISI UKAS