Atlet Para SUKMA Sarawak Buru 83 Pingat Emas, Rampas Kembali Kejuaraan

Disiarkan pada 12 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Atlet Sarawak diyakini mampu mencapai sasaran 83 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran pingat itu mampu dilakar kerana atlet Sarawak cukup berdisplin dan berpotensi.

Menurutnya, sasaran 83 pingat itu ditetapkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam usaha merampas semula kejuaraan Para SUKMA.

"Sebagai suntikan moral, pemenang pingat Para SUKMA akan menikmati ganjaran sama seperti diterima oleh para atlet SUKMA.

"Para SUKMA kali ini akan memberikan insentif yang setara dengan SUKMA biasa, di mana setiap pemenang pingat emas akan menerima ganjaran sebanyak RM15,000.

“Jika sasaran 83 pingat emas tercapai, jumlah keseluruhan insentif yang akan diberikan mencecah lebih RM1 juta.

“Selain itu, pemenang pingat perak juga akan menerima insentif sebanyak RM5,000 dan gangsa RM3,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada Ketua Kontinjen Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange Event Centre di sini pada Rabu.

Premier Sarawak turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usaha para atlet.

“Selagi negeri kita makmur dan rakyat bersatu padu, kita akan terus maju membawa nama Ibu Pertiwi ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada para atlet yang telah menunjukkan usaha gigih dalam persiapan mereka menghadapi Para SUKMA 2024, sambil menyatakan keyakinannya bahawa mereka akan mengharumkan nama Sarawak di pentas kebangsaan.

Selain itu, Premier Sarawak menyentuh mengenai peningkatan infrastruktur sukan di negeri ini, termasuk fasiliti sukan di Sri Aman, Sibu, Bintulu, dan Miri yang telah dinaik taraf untuk memastikan Sarawak bersedia menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.

Beliau turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri yang berpotensi untuk menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan SEA yang akan datang dan menandakan satu pencapaian bersejarah bagi negeri ini.

"Dengan sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, persembahan pembukaan Sukan SEA akan berlangsung di Kuching, sekali gus membuktikan keberanian dan kehebatan Sarawak sebagai destinasi sukan antarabangsa," tambah beliau.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Chef De Mission kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee serta tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS