SIC2024 Kembali September Ini, Sasar Peserta Dari Dalam Dan Luar Negara

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
SIBU: Smart Innovation Competition (SIC) kembali dianjurkan tahun ini pada 27 dan 28 September 2024 dengan menyasarkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.
 
Ketua Penyelaras SIC2024 Tetuan Reverend Charlly Simon berkata, ini merupakan edisi kedua program ini diadakan di mana penganjurannya tahun lepas diketuai oleh Kolej Vokasional Sibu.
 
Program itu mendapat peruntukan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan tahun ini penganjuran akan diketuai agensi Sibu Digital Innovation Hub (SDIH) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Kolej Vokasional Sibu, Methodist Pilley Institute (MPI) dan Wave Studio.
 
SIC2024 akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak yang akan menghimpunkan 100 kumpulan dari 5 kategori yang dipertandingkan.
 
Menurut Charlly Simon, SIC2024 bertemakan 'Sustainable Development Goals: Nurturing Resilient Communities through Innovative Solutions' atau ‘Matlamat Pembangunan Mampan: Memupuk Komuniti yang tahan lasak melalui pencarian kaedah penyelesaian yang inovatif’ telah dibuka pendaftarannya dan akan berakhir pada 13 Jun ini.
 
"Kami menyasarkan penyertaan dari dalam negara termasuk sekolah swasta, sekolah vernakular dan sekolah jenis kebangsaan seluruh negara.
 
"Pertandingan kali ini juga melibatkan penyertaan antarabangsa yang menyasarkan penyertaan dari Indonesia, China, Brunei, Singapura dan Taiwan," katanya dalam sidang media pada Isnin.
 
Pengarah Sibu Digital Innovation Hub itu juga berkata, SIC24 memerlukan para peserta untuk mencari solusi yang praktikal dan selari dengan matlamat pembangunan mampan seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
 
"Terdapat lima kategori yang akan dipertandingkan iaitu, Kategori Terbuka A untuk sekolah rendah dan Kategori Terbuka B untuk sekolah menengah.
 
"Sementara itu, Kategori C dan D (senior innovator) dari aliran atau jurusan sains tulen atau sains teknologi dari mana-mana institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara dan Kategori E untuk golongan profesional seperti akademia, penyelidik, kementerian, pegawai agensi, guru-guru, pakar industri atau mana-mana personal dari dalam dan luar negara.
 
"Hanya 20 kumpulan terbaik akan dipilih bagi setiap kategori akan dipanggil untuk mempamerkan dan bersaing di peringkat akhir SIC24 di Sibu, September ini," ujarnya.
 
Menurutnya lagi, peserta setiap kategori berpeluang memenangi trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah RM21,800.
 
Untuk maklumat terperinci tentang pertandingan ini termasuk syarat-syarat penyertaan dan tarikh akhir penyerahan, boleh imbas kod QR atau menghubungi Tiong Siew Jen di 084-322260 / 016-8884806.
 
Hadir sama pada sidang media ialah Pengarah Caliphs Digital Group Abang Fairul Syarmil, Pengarah Kolej Vokasional Sibu Jamali Muhammad, Pengetua MPI Hii King Kai dan mereka yang lain. -EDISI UKAS