Pelantikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Sebagai Canselor UTS Diabadikan Dalam Biografi Khas 

Disiarkan pada 12 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja'afar sebagai Canselor kedua Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan diabadikan dalam penerbitan sebuah biografi khas yang memperincikan perjalanan hidup serta sumbangan besar beliau.

Biografi tersebut bakal dilancarkan semasa Majlis Konvokesyen UTS Ke-9 pada Disember ini, sebagai penghargaan terhadap pelantikan bersejarah Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid berkata, biografi itu akan memuatkan pandangan serta nasihat Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi mengenai hala tuju UTS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik negeri Sarawak.

“Pengalaman luas beliau dalam kerajaan pusat dan pelbagai kementerian bakal menjadi panduan penting bagi memastikan UTS terus berkembang seiring dengan agenda pembangunan negeri Sarawak.

"Beliau turut menekankan kepentingan dalam memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran pengurusan, serta pemahaman menyeluruh terhadap elemen kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai delegasi UTS melakukan kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.

Jelasnya lagi, pelantikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai Canselor akan menjadi penanda aras bagi memperkasakan pengurusan dan program akademik di UTS, terutamanya dalam melahirkan tenaga kerja yang relevan dengan keperluan negeri Sarawak.

Hadir sama Pendaftar UTS Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pentadbiran dan Perhubungan Korporat UTS Mohd Ian Daim Mahmud, Pengurus Pemasaran dan Pengambilan Pelajar Kuching Lau Wee Ming serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS