Pemimpin Peringkat Akar Umbi Perlu Amalkan Integriti

Disiarkan pada 12 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


TELANG USAN: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan integriti di peringkat pimpinan akar umbi bagi memastikan tadbir urus yang baik tercapai, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata, pemimpin akar umbi merupakan tunjang utama kepada sesebuah komuniti, dan mereka harus mengamalkan integriti serta memastikan tatacara kelola yang baik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Beliau juga menekankan peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai mata dan telinga kerajaan dalam melaporkan sebarang salah laku kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS).

Menurutnya, setiap aduan yang dibuat mestilah sahih dan berdasarkan fakta untuk memastikan setiap salah laku dapat dinilai dan tindakan yang sewajarnya diambil.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Integriti Siri 13 Bil.4/2024 di Dewan Long Lama, pada Selasa.

Jelajah kali ini merupakan siri ke-4 selepas program di Betong, Spaoh, dan Mulu, serta menjadi kesinambungan kepada inisiatif UNIONS yang bermula sejak tahun 2019, dengan 40 siri jelajah telah diadakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau turut hadir dalam majlis tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Dr. Juanda atas komitmen beliau dalam menekankan amalan integriti kepada masyarakat.

Beliau juga berharap semua peserta yang hadir, termasuk KMKK Daerah Telang Usan, Kaunselor Majlis Daerah, serta Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan, dapat mengaplikasikan ilmu yang dikongsi untuk memacu pembangunan di daerah ini.

Hadir sama wakil Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Hipni Wan Mohamad, wakil Residen Bahagian Miri Ezra Uda, dan Ketua Masyarakat Kaum Kayan Bahagian Miri Temenggong Elizabeth Deng. - EDISI UKAS

#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur