Penduduk Kawasan Lambir Bakal Nikmati Kemudahan Sukan

Disiarkan pada 12 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Penduduk di sekitar kawasan Lambir bakal menikmati kemudahan sukan seperti padang bola sepak dan gelanggang sepak takraw tidak lama lagi.

 

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya telah melakukan lawatan ke tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Lambir itu pada Rabu.

 

Lawatan itu bagi meninjau keadaan dan kemajuan projek-projek tersebut.

 

Projek pertama melibatkan kerja membina baharu padang bola sepak yang dijangka disiapkan pada 4 Oktober ini manakala projek kedua melibatkan pembinaan baharu (Fasa 1) gelanggang sepak takraw di Taman Jelita.

 

Turut hadir ialah Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit dan Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof. -EDISI UKAS