Kerajaan Sarawak Tingkat Kerjasama Dengan Singapura Dalam Tenaga Boleh Diperbaharui

Disiarkan pada 11 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat meningkatkan kerjasama dengan Singapura dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

 

Menteri Tenaga Kerja Singapura Dr Tan See Leng memberitahu, prioriti utama adalah mengenai tenaga boleh diperbaharui serta kerjasama antara Malaysia dan Singapura, khususnya Sarawak yang diberkati dengan sumber asli yang kaya.

 

“Ini adalah salah satu agenda yang dibincangkan dan sudah tentu kita melihat bagaimana meningkatkan kerjasama dari segi pelancongan serta perdagangan antara Sarawak dan Singapura,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.

 

Dalam pada itu, Dr Tan juga berharap perdagangan dua hala antara Sarawak dan Singapura akan terus berkembang serta ketersambungan pelancongan dan kerjasama import tenaga turut boleh diperbaharui.

 

Terdahulu, beliau telah melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak.

 

Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili, Pengarah Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (Tenaga) Andre Oei dan Pengarah Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (Asia Tenggara dan Oceania) Wong Yoke Hui. -EDISI UKAS