Jalan Baharu Dibina Untuk Kemudahan Penduduk Kampung Igan

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


IGAN: Sebuah jalan baharu akan dibina di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan dan SK Igan dengan kos bernilai RM30.8 juta untuk kemudahan penduduk Kampung Igan.
 
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, jalan baharu itu bagi menampung keperluan Jalan Igan yang dijangka akan menjadi laluan utama yang sibuk sebaik pembinaan Jambatan Igan yang telah mencapai 65 peratus pelaksanaanya siap sepenuhnya kelak.
 
Beliau turut mengumumkan berita gembira kepada penduduk Igan bahawa projek penyambungan tebingan sungai fasa 3 di antara Kampung Baru Dagang ke klinik Kesihatan Igan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Mukah.
 
"Peruntukan sudah lama diserahkan, saya sudah beberapa kali turun padang meninjau dan diharap projek ini akan segera dilaksanakan.
 
"Seterusnya ialah projek Jalan protokol bernilai RM1.5 juta, jalan yang menjadi laluan utama VIP untuk masuk ke Kampung Igan.
 
"Projek baharu yang dipohon melalui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ialah pembangunan semula pasar Igan dan Anjung Usahawan bernilai RM10 juta dan kita berharap ia akan diluluskan.”
 
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis ‘Belangger Mija’ Kampung Baru Dagang Igan Matu pada Selasa.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu menambah, beliau telah mengemukakan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk pembangunan tapak Kaul Igan fasa 2 di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
 
Selain itu katanya, stadium baharu bernilai RM10 juta yang terletak di hadapan Stesen Pertanian Igan juga telah diluluskan, dan diharap pembinaannya akan dilaksanakan secepat mungkin untuk kemudahan masyarakat beriadah.
 
"Akhir sekali ialah projek Pasar Igan yang terletak berhadapan Masjid Igan. Saya dimaklumkan oleh pihak LCDA kerja tender tanah telah ditutup, kini menunggu dianugerahkan dan seterusnya dilaksanakan,” katanya berucap lanjut.
 
Majlis ‘Belangger Mija’ adalah acara tradisi unik yang telah diadakan sejak sekian lama dan hanya terdapat di Kampung Igan di mana lima kampung akan mengadakan jamuan di jalanraya secara bergilir setiap hari selama lima hari dan selalunya akan bermula pada 2 Syawal sehingga 7 Syawal.
 
Turut hadir isteri Datuk Dr Juanda, Datin Shanti Achmad, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Igan mewakili Pemangku Pegawai Daerah Matu Aznieda Man. - EDISI UKAS