KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja'afar telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan di Sarawak di Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan jabatan-jabatan dan agensi Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak bagi mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Beliau turut berharap agar melalui hubungan yang erat ini, agenda keselamatan, pembangunan ekonomi, serta aspek lain dapat dijalankan secara seiring demi kemakmuran negara.
Antara ketua jabatan dan agensi yang hadir pada kunjungan hari ini adalah mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan.
Manakala sektor lain seperti pembangunan, ekonomi, pendidikan, dan sosial akan mengadakan kunjungan hormat pada Oktober depan.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie serta tetamu kehormat yang lain. – EDISI UKAS