KUCHING: Kejayaan pembangunan Smart City atau Bandar Pintar memerlukan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan holistik dari perspektif "top-down" diperlukan bagi memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati kemudahan bandar pintar secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu di satu bahagian atau daerah sahaja.
Tambahnya, sempadan antara daerah tidak lagi membataskan pergerakan rakyat Sarawak yang kini bebas merentasi bahagian dalam negeri dan memiliki hartanah di seluruh kawasan.
“Kita telah menyelaraskan banyak proses di pihak berkuasa tempatan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan mendigitalkan sebahagian besar proses tersebut.
"Sudah tiba masa untuk membangunkan kecerdasan daripada ekosistem yang telah didigitalkan bagi memudahkan interaksi rakyat dengan pihak berkuasa dan mempercepatkan aliran maklumat antara agensi,”.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Bengkel Bandar Pintar 2024 di sini pada Rabu.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan iru menegaskan, dalam usaha merealisasikan bandar pintar, kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi diperlukan kerana inisiatif ini tidak boleh dicapai dengan pendekatan berasingan.
Katanya, pihak berkuasa tempatan diingatkan agar tidak hanya fokus kepada bidang kuasa masing-masing, tetapi turut memberikan sokongan bagi kejayaan inisiatif bersama.
Jelasnya, kerjasama ini diharapkan dapat mewujudkan bandar pintar yang bukan sahaja moden tetapi juga mesra rakyat dengan kecekapan aliran maklumat yang lebih baik di kalangan penyedia perkhidmatan.
Hadir sama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) Datu Lesther Mathew, Pengarah Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng dan pegawai-pegawai atasan kerajaan Sarawak yang lain.-EDISI UKAS