Tradisi Kunjung Rumah Terbuka Kuatkan Silaturahim Masyarakat Berbilang Kaum

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


 

MULU: Budaya mengunjungi rumah terbuka menjadi tradisi masyarakat di Sarawak dan menguatkan lagi jalinan silaturahim antara penduduk berbilang kaum.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, kepelbagaian bangsa dan agama menjadikan Sarawak amat unik di mana masyarakat dapat merayakan dan merasakan kehangatan sambutan setiap perayaan.

 

Beliau berkata demikian semasa melakukan kunjungan rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Seberang Lubok Nibong, Mulu pada Selasa.

 

Datuk Gerawat menambah, kampung tersebut amat unik kerana ia merupakan satu-satunya kampung masyarakat Melayu di konstituensi Mulu.

 

Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan kanak-kanak bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Dominic Nyurang, Pemangku Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS