Dato’ Sri Huang Terus Santuni Rakyat Di Kawasannya

Disiarkan pada 11 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii meneruskan usaha menyantuni rakyat di kawasannya dengan mengadakan lawatan ke lima buah rumah panjang di Simpang Koko, Sungai Paoh pada Selasa.

Antara rumah panjang yang dilawati adalah Rumah Anthony Suding, Rumah Doris Baling, Rumah Jimboon Embol , Rumah Man Sulang dan Rumah Didong Barak.

Lawatan Dato’ Sri Huang bertujuan untuk mendekati masyarakat tempatan dan memahami secara lebih mendalam tentang keperluan dan isu-isu yang mereka hadapi di kawasan tersebut.

Beliau mengambil peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk rumah panjang, mendengar pandangan dan cadangan mereka bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Dato’ Sri Huang menekankan bahawa kerjasama antara masyarakat dan kerajaan adalah penting dalam merealisasikan projek-projek pembangunan yang mampu memacu kemajuan kawasan mereka.

Beliau turut memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat.

Ini dibuktikan melalui penyaluran peruntukan dana untuk pembangunan infrastruktur di Sarikei, khususnya bagi rumah panjang kawasan tersebut, katanya.

Turut hadir Penghulu Huang Tiong Kang, Penghulu Egong, Penyelaras Zon D merangkap Pengerusi Persatuan Tuai-tuai Tuai Rumah Pitre Ambit, Penyelaras Zon A Tuai Rumah Anthony Suding, Penyelaras Zon B1 Tuai Rumah Keli Angai, Penyelaras Zon C Tuai Rumah Clement dan Kapitan Ling Dien Yong. – EDISI UKAS