BAU: Kumpulan Kerja Pendidikan Awam dan Penyertaan Komuniti telah menganjurkan Program Taklimat Geotalk Untuk Sekolah Angkat Sarawak Delta Geopark di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku pada Selasa.
Sarawak Delta Geopark (SDGp) telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-6 oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 20 Jun 2022 dengan keluasan 311,246 hektar meliputi kawasan daratan dan pesisiran yang terdapat di Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Kecil Padawan dan juga Daerah Kecil Siburan.
Sehubungan itu, Kumpulan Kerja Pendidikan Awam dan Penyertaan Komuniti Sarawak Delta Geopark yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Kuching berhasrat melantik SMK Paku sebagai salah satu Sekolah Angkat Geopark selaras dengan definisi UNESCO Global Geopark (UGGp).
Difahamkan, SMK Paku mempunyai nilai geopark yang tinggi kerana dikelilingi batu mineral yang berusia jutaan tahun.
Program tersebut adalah pendekatan terbaik untuk komuniti dan anak-anak muda memahami situasi sebenar dan kepentingan geopark untuk Sarawak.
Menerusi program ini, ia akan memberikan impak yang positif dalam memperkukuhkan dan memperkasa ilmu pengetahuan anak-anak kita mengenai alam sekitar, sejarah pembentukan geologi dan warisan turun temurun untuk diperkenalkan di mata dunia.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Bau Raymond Jayasurya Jayaseelan, Pengetua SMK Paku Anek Anpok dan wakil Residen Bahagian Kuching Joseph Liaw. -EDISI UKAS