Kerajaan Sarawak Peruntuk RTP & MRP Bagi Keperluan Masyarakat Luar Bandar

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


 

MULU: Kerajaan Sarawak prihatin terhadap keperluan masyarakat di kawasan luar bandar dengan menyalurkan peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala memberitahu, Kerajaan Sarawak akan sentiasa membantu penduduk yang berhasrat membina rumah panjang baharu.

 

“Peruntukan RTP dan MRP telah disalurkan kepada setiap wakil rakyat bagi membangunkan kawasan masing-masing.

 

“Walalupun ianya tidak dapat disalurkan sekaligus, namun ianya diberikan secara berterusan sesuai dengan keperluan,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Rumah Panjang Baharu Rumah Billy di Kampung Engkaras di sini pada Selasa.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata, di kawasan Puyut Lubuk Nibung sahaja sebanyak 22 projek membina rumah panjang baharu di mana 12 dalam proses pembinaan manakala 10 rumah panjang telah siap.

 

“Semua ini dibantu oleh Kerajaan Sarawak melalui peruntukan kepada wakil rakyat konstituensi Mulu dan bertujuan meringankan beban penduduk yang ingin membina rumah panjang baharu memandangkan kos barang agak tinggi,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Datuk Gerawat berharap penduduk akan memberikan sokongan padu dan kerjasama erat kepada Tuai Rumah supaya pentadbiran rumah panjang akan berjalan dengan baik dan sistematik.

 

Beliau juga menyeru penduduk rumah panjang patuh kepada adat dan tradisi kaum Iban dalam membina rumah panjang bagi memastikan rumah yang didiami aman, makmur dan maju.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Dominic Nyurang, Pemangku Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS