Baikpulih SK Nanga Oyan, Kapit Akan Dilaksanakan Di Bawah RMKe-13

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KAPIT: Projek baikpulih Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Oyan, Kapit akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 di bawah Kementerian Pendidikan.
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, sekolah tersebut telah dimasukkan dalam projek RM1 bilion sekolah daif namun digugurkan.
 
Sehubungan itu, Nicholas Kudi akan cuba memohon bantuan melalui Ahli Parlimen Hulu Rajang yang juga Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong untuk memberikan bantuan baikpulih sekolah.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program lawatan kerjanya di Baleh bertempat di Rumah Unting, Nanga Sekeroh Tengah, Sungai Oyan, Kapit pada Selasa.
 
Mengenai isu rumah panjang yang menggunakan tenaga solar, beliau menjelaskan bekalan elektrik dari bandar sepatutnya sampai di rumah panjang.
 
Namun dedahnya masalah berlaku apabila tuan tanah tidak membenarkan laluan tiang elektrik melalui tanah mereka atau memohon pampasan yang terlampau tinggi.
 
Mengulas mengenai jalan menuju ke rumah panjang kawasan Sungai Sekeroh Tengah, beliau berkata jalan yang rosak ini akan diambil tindakan untuk dibaikpulih pada masa akan datang melalui Pejabat Daerah Bukit Mabong dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
 
Nicholas Kudi turut mengumumkan peruntukan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Umbang, Rumah Jimmy Jaraw, Rumah Unting, Rumah Nulai, Rumah Jana, Rumah Sylvester Jimba dan SK Nanga Oyan berjumlah keseluruhan RM32,000. - EDISI UKAS