Karnival Kebudayaan Durin Kembali 26 Hingga 28 April Ini

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Karnival Kebudayaan Durin kembali pada tahun ini dana akan dianjurkan dari 26 April hingga 28 April 2024 di Bazar dan Tebingan Durin.
 
Acara tahunan anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu bakal menggabungkan Karnival Kebudayaan Durin dan Simfoni Batang Rajang pada tahun ini.
 
Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai berkata, pihaknya sudah mendapat dana sokongan berjumlah RM100,000 dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan RM100,000 lagi dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya untuk penganjuran karnival itu.
 
"Malam Simfoni Batang Rajang yang akan diadakan pada 27 April dari jam 6 petang hingga 12 malam itu menampilkan beberapa orang artis sape antarabangsa.
 
"Antaranya Thambunesia dari Indonesia dan artis sape tempatan seperti Mathew Ngau, Jerry Kamit, Klunan Maggat, dan Kumpulan Kemada," katanya pada sidang media di Wisma Sanyan, Sibu pada Isnin.
 
Hadir sama Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei, Pengerusi Penganjur Datuk Teo Boon Siew serta ahli MDLBS yang lain.
 
Menurut Sempurai, karnival yang berlangsung selama tiga hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik.
 
Antaranya pertandingan bot kawalan jauh, perlawanan sepak takraw, pertandingan karaoke lagu Iban, pentas kebudayaan Cina, pertandingan menyumpit, pertandingan menangkap itik, pertandingan ngajat dan mini regata.
 
"Turut diadakan pertandingan Kumang Karnival Durin 2024. Justeru, kami berharap agar penganjuran karnival pada tahun ini akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dan kebiasaannya karnival ini menarik kira-kira 5,000 orang pengunjung setiap tahun," katanya lagi.
 
Majlis perasmian karnival itu akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing.
 
Manakala acara penutupan akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. - EDISI UKAS