Premier Sarawak Teruskan Ziarah Aidilfitri Di Kediaman Tan Sri Bustari Yusof

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meneruskan ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri dengan mengunjungi kediaman ahli korporat terkemuka, Tan Sri Bustari Yusof pada Selasa.
 
Datuk Patinggi Abang Zohari tiba di kediaman Tan Sri Bustari kira-kira jam 12.37 tengah hari.
 
Hadir sama dalam kunjungan rumah terbuka itu ialah Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.
 
Ketibaan mereka disambut mesra oleh Tan Sri Bustari dan isteri Puan Sri Johrah Abdul Rahman serta keluarga.
 
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah melakukan kunjungan ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Dato Sri Mohd Naroden Majais.
 
Manakala, pada sebelah malam beliau dijadual membuat kunjungan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS