BIMB Agih Zakat Wakalah Meliputi Empat IPT

Disiarkan pada 07 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengagihkan sebanyak RM82,400 Zakat Wakalah sepanjang tahun 2023 di seluruh Sarawak yang meliputi empat institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Pengarah Pengedaran Perbankan Runcit BIMB, Zamree Mohamed, antara IPT tersebut ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
"Dari hari pertama penubuhan Bank Islam lebih 41 tahun yang lalu, matlamat kami adalah untuk memacu pertumbuhan serta memupuk kemakmuran masyarakat menerusi rezeki yang diraih.

"Bank Islam telah memperkasakan usaha-usaha ini dengan menubuhkan Sadaqa House pada tahun 2018 untuk menangani isuisu sosial yang mendesak seperti pendidikan, kemiskinan dan pembangunan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Zakat Wakalah BIMB kepada UTS serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BIMB dan UTS pada Jumaat.

Bagi tahun ini katanya, BIMB memperuntukkan Zakat Wakalah berjumlah RM10,000 untuk tujuan kebajikan pelajar-pelajar dari keluarga fakir dan miskin di UTS bagi tahun ini.

Menurutnya lagi, baru-baru ini Bank Islam juga telah membayar zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2023 kepada Majlis Islam Sarawak berjumlah RM760,000.

Dalam pada itu, beliau berkata MoU yang terjalin bersama UTS akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui program kolaborasi seperti Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP), Program Perkongsian Ilmu, Program Kakitangan Baharu, Program Pra-Persaraan dan lain-lain.

Sementara itu Naib Canselor UTS, Professor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid menghargai keperihatinan BIMB memperuntukkan Zakat Wakalah kepada UTS, kerana menurutnya lebih separuh pelajar di universiti itu tergolong dalam golongan B40 dan M40.

"Kita juga ingin menghulurkan tawaran perkhidmatan yang kita ada seperti akademik dan juga penyelidikan, kalau ada apa dari pihak bank yang memerlukan sebarang keperluan dari segi akademik, penyelidikan dan juga perundingan, kita ada juga pakar dalam bidang-bidang tertentu yang boleh kita kerjasama, yang boleh kita letakkan dibawah memerondum ini."

Turut serta, Bursar University of Technology Sarawak Dr. Rabuan Mantine, dan Pengarah Wilayah, Wilayah Malaysia Timur, Bank Islam Malaysia Berhad Kameri Edi. -EDISI UKAS