Tayangan Video 'Tuanku Payung Mahkota' Pengisian Istimewa Majlis Jamuan Teh Hari Keputeraan Agong Peringkat Sarawak 2024

Disiarkan pada 07 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Tayangan video 'Tuanku Payung Mahkota' menjadi antara pengisian istimewa pada Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2024.

Ditayangkan menerusi skrin utama di dalam DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini pada Sabtu, video khas terbitan Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak itu memaparkan peristiwa penting dalam kehidupan Sultan Ibrahim, antaranya detik baginda diputerakan pada 22 November 1958, termasuk perkahwinan Seri Paduka dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 September 1982.

Turut dipaparkan dalam video berdurasi 6 minit itu ialah pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, serta Istiadat Pertabalan Sri Paduka di Istana Negara pada 20 Julai 2024.

Majlis yang menghimpunkan lebih 500 tetamu itu disempunakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Dato Sri Julaihi Narawi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Timbalan-timbalan Menteri Bertanggungjawab Sambutan serta dif-dif kenamaan lain.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan menghormati lagu 'Ibu Pertiwiku', diikuti persembahan tarian 'Selamat Datang' oleh Petra Dancers di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak (MSS) dan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato' Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Pengisian majlis diteruskan lagi dengan upacara memotong pulut kuning oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, disusuli tayangan video lagu khas dendangan Bob Yusuf dan Camelia.

Tatkala santapan dihidangkan, para tetamu juga disajikan dengan persembahan nyanyian yang dihiburkan oleh penyanyi jemputan Firdaus Materang, Hijrah Yahya dan Valerie Thiam Mei Lee dengan diiringi pemuzik seliaan MSS.

Untuk rekod, Kota Samarahan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak berlangsung selama empat hari, mulai 5 hingga 8 September 2024.

Terdapat empat acara utama termasuk Pameran Raja Kita di Summer Mall Kota Samarahan, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Kota Samarahan dan Majlis Kesyukuran di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan.-Edisi UKAS