Dato' Sri Huang Teruskan Kunjungan Aidilfitri Di Bintangor

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii meneruskan kunjungan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Bintangor pada Isnin.
 
Antara lokasi kunjungan beliau adalah Kampung Darul Falah Sg Gemuan, Dewan Serbaguna Kampung Selemas, Kediaman KK Abdul Rahman Wasli, Kediaman Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Meradong Kr Samsawi Mohamad dan kediaman bekas Ketua Pemuda PBB Cawangan Meradong Khairuddin Qalam Daud.
 
Dalam ucapan ringkasnya, beliau amat berterima kasih kepada pengundi atas sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 dan berpeluang untuk menyuarakan suara rakyat di Parlimen.
 
Ahli Parlimen Sarikei itu juga berikrar akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun beliau mempunyai tugas di Putrajaya.
 
Katanya, Pasukan Pusat Khidmat P.208 Sarikei juga sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu juga berharap agar masyarakat di situ dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain, mengekalkan kerjasama dan berusaha memperoleh lebih banyak pembangunan.
 
Dalam pada itu, Dato' Sri Huang telah memperuntukkan dana kepada Kampung Darul Falah, Sg Gemuan untuk kegunaan aktiviti tahunan, pembelian kipas, meja, kerusi, abestos dan membina pagar rumah panjang.
 
Semasa mengunjungi kediaman Kr Samsawi, beliau telah menyumbang 28 unit tangki air dan juga memperuntukkan dana untuk kegunaan aktiviti tahunan.
Beliau juga memperuntukkan dana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Serbaguna Kampung Selemas dan JKKK Surau Kampung Selemas Baru sebagai kegunaan aktiviti tahunan.
 
Pada masa sama, beliau juga akan membina tempat letak kereta di hadapan Surau Kampung Selemas Baru di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta. - EDISI UKAS