Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Hadiri Majlis Kesyukuran Perayaan Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Yang di-Pertuan Agong

Disiarkan pada 07 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi mengimarahkan Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin, pada Jumaat.

Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri pada jam 6.30 petang disambut oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan.

Majlis dimulakan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Turut diadakan Ceramah Khas daripada Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin yang berjudul "Kesetiaan Dalam Kepimpinan",

Usai menunaikan Solat Fardhu Isyak berjemaah turut diserikan dengan Alunan Zikir Marhaban yang dipimpinan oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Samarahan sebelum memulakan Majlis Jamuan Makan Malam.

Majlis Makan Malam tersebut turut dihadiri oleh Menteri-Menteri dan tetamu kenamaan yang bukan beragama Islam serta pasangan masing-masing.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Speaker DUN Sarawk, Dato Idris Buang, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Ketua-ketua Jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum.-EDISI UKAS