SIBU: Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023 oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah berkuatkuasa pada 1 Mac 2024.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah, dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata ordinan ini merupakan asas kepada strategi alam sekitar negeri.
Katanya, ia mewajibkan pelaporan pelepasan karbon, penetapan ambang dan pengesahan pelepasan gas rumah kaca serta menyokong peralihan kepada teknologi rendah karbon.
Beliau turut menegaskan kepentingan terhadap Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi semua projek yang diwajibkan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREO).
Penilaian ini berperanan dalam menyediakan laporan terperinci dan mencadangkan mitigasi untuk mencapai kelestarian alam sekitar.
Datuk Len turut menjelaskan bahawa pemantauan pematuhan terhadap syarat EIA merupakan satu kepentingan dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar di negeri ini.-EDISI UKAS