MARUDI: Tiga masjid dan empat surau di Marudi dan Beluru menerima cek sumbangan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Cek tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr. Penguang Manggil di sini pada Jumaat.
Datuk Dr. Penguang menegaskan bahawa sumbangan ini mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengukuhkan perpaduan dan kerjasama tanpa mengira bangsa dan agama.
“Sumbangan ini bukan sahaja melambangkan keprihatinan Kerajaan Sarawak, tetapi juga menunjukkan bahawa GPS sentiasa peka terhadap keperluan setiap komuniti termasuk di kawasan luar bandar seperti Marudi dan Beluru,” katanya.
Dalam ucapannya, ADUN Marudi itu turut mengingatkan akan pentingnya kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan agensi-agensi kerajaan bagi memastikan masalah di kampung-kampung dapat diselesaikan dengan baik.
Untuk rekod, tiga masjid menerima sumbangan RM10,000 setiap satu iaitu Masjid As-Salam, Masjid Nurul Iman dan Masjid Al-Munir.
Sementara itu, empat surau menerima RM5,000 setiap satu iaitu Surau AT-Taqwa, Surau Nur Ihsan, Surau An-Nur dan Surau Ar-Rahman.
Hadir sama Ketua Masyarakat Melayu Daerah Marudi, Pemanca Jamel Sabel serta Penghulu Mohammad Abdul Majid. - EDISI UKAS