1,290 Atlet Bakal Berentap Dalam Para SUKMA Ke-21 Sarawak 2024

Disiarkan pada 06 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Seramai 1,290 atlet dari seluruh negara bakal bersaing dalam Para SUKMA Ke-21 Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.

Acara yang dinanti-nantikan ini akan menyaksikan kehadiran 15 kontinjen yang bertanding untuk merebut gelaran juara dalam pelbagai disiplin sukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan bahawa keseluruhan temasya kali ini akan melibatkan seramai 2,225 individu, terdiri daripada atlet, atlet sokongan dan lain-lain.

“Temasya Para SUKMA kali ini menyaksikan 15 kontinjen mengambil bahagian. Bagi Sarawak, kami bukan sahaja menampilkan seorang Chef de Mission, tetapi juga seorang Assistant Chef de Mission untuk membantu persiapan kontinjen negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan Para SUKMA XXI di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Majlis Perasmian Para SUKMA Ke-21 Sarawak dijangka disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang akan memeriahkan lagi suasana temasya sukan berprestij ini.

Sarawak kini bersiap sedia untuk memastikan penganjuran yang cemerlang dan pengalaman sukan yang berkesan kepada para atlet dan kontinjen yang bertanding.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA XXI 2024, Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua dan ahli jawatankuasa yang lain.-EDISI UKAS