Karnival TVET 2024 Bentuk Masa Depan Pelajar Dalam Bidang Teknikal

Disiarkan pada 06 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Karnival TVET 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 September ini dilihat sebagai platform penting dalam membentuk masa depan pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

Setiausaha Politik Premier Sarawak, Charles Balan Seling berkata, karnival ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pendidikan, malah turut memperkukuh hubungan antara pihak industri dan komuniti setempat.

Berlandaskan objektif utama untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), karnival ini berjaya menarik perhatian pelajar sekolah menengah serta masyarakat umum terhadap potensi besar yang ditawarkan oleh bidang ini.

“Usaha ini amat penting dalam memastikan pelajar kita bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja global yang semakin kompetitif,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival TVET 2024, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau di sini, pada Jumaat.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang karnival ini termasuk Pameran STEM, Program Inreach, Pesta Niaga, Pertandingan e-Sport serta acara hiburan seperti Idola TVET (karaoke).

Dalam pada itu, Dato Dennis turut menyumbangkan dana sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Miri sebagai sokongan terhadap usaha pembangunan TVET di kolej berkenaan. – EDISI UKAS