LIMBANG: Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk memajukan Bahagian Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk membangunkan projek-projek infrastruktur asas, kemudahan pelancongan dan riadah, fasiliti sukan serta pendidikan.
Menurut beliau daripada jumlah itu, sejumlah RM160 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan prasarana dan kemudahan pendidikan di daerah Limbang dan Lawas.
“Kebanyakan infrastruktur pendidikan sudah daif dan memang ada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, tetapi tidak mencukupi.
"Sebab itulah kerajaan Sarawak membantu dan banyak sekolah mendapat manfaat termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang,” katanya kepada media semasa melawat ke tapak Projek Dataran Bandar Limbang, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, sebuah Pusat Tingkatan Enam akan diwujudkan di kawasan itu dengan menaik taraf blok bangunan lama SMK Limbang yang kini kosong, setelah warga sekolah tersebut berpindah ke bangunan baru.
Pada masa ini katanya, NRDA sedang menyiapkan pembangunan blok kantin dan beberapa blok asrama, tetapi masih memerlukan tambahan RM2 juta lagi untuk membeli peralatan dan perabot.
“Kita berharap pusat Pusat Tingkatan Enam dapat dimulakan pada tahun depan kerana ia penting dan sudah dikategorikan sebagai pra universiti.
"Cuma ada beberapa isu yang perlu diselesaikan terutamanya proses mendapatkan Permit Pendudukan (OP),” jelas beliau.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pemangku Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Matzinan Wahit, Pengetua SMK Limbang Norfarhana Abdullah dan Pegawai Perhubungan Awam NRDA Nasir Kindang.-Edisi UKAS