STIU Mengadakan Lawatan Penanda Aras EKSA & Program CSR Di Bintulu

Posted on 06 Sep 2024
Source of News: UKAS


BINTULU: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Cawangan Bintulu di sini hari ini.

STIU dalam satu kenyataan media memberitahu, lawatan tersebut melibatkan 15 orang pegawai STIU yang bertujuan untuk berkongsi serta mempelajari amalan terbaik dalam pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang diterapkan di agensi tersebut.

Lawatan penanda aras EKSA tersebut menyediakan platform bagi warga STIU untuk mendapatkan pengetahuan mendalam tentang pendekatan Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Cawangan Bintulu menjalankan prinsip-prinsip EKSA.

Pelbagai inisiatif dan amalan terbaik yang telah diadakan dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan produktif.

Sementara itu, wakil dari STIU, Farah Nabila berkata, kunjungan penanda aras ini adalah langkah penting dalam usaha untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan terbaik EKSA daripada rakan-rakan di Jabatan Akauntan Negara.

"Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh hari ini akan memperkukuhkan komitmen dalam memperbaiki persekitaran kerja di sektor awam dan memberi impak positif kepada warga kerja STIU," katanya.

Selain itu, STIU juga telah menjayakan program Corporate Social Responsibility (CSR) yang bertemakan "Kutip Sampah Sambil Beriadah" di Pantai Tanjung Batu.

Objektif program tersebut dijalankan adalah untuk menggalakkan kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar sambil mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat.

Semua pegawai STIU yang turut serta telah dibekalkan dengan peralatan bersesuaian dan seterusnya menjalankan kutipan sampah di sepanjang pantai Tanjung Batu.

Program tersebut berlangsung selama beberapa jam dengan turut disertai oleh pengunjung di pantai berkenaan.

Para pengunjung yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat turut serta dalam aktiviti yang bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi juga dapat meningkatkan kebersihan dan keindahan di pantai Tanjung Batu.

Kedua-dua program ini adalah manifestasi komitmen STIU dalam meningkatkan kualiti kerja dan tanggungjawab sosial.

Inisiatif ini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan memupuk masyarakat yang lebih peka terhadap isu alam sekitar. -EDISI UKAS