Pelajar Sarawak Di Asia Barat Perlu Dibawa Keluar Jika Keadaan Semakin Tegang

Disiarkan pada 16 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pelajar Sarawak di Asia Barat perlu dibawa keluar jika keadaan di negara berkenaan semakin tegang dan meruncing.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan mengenai perkara ini akan bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Luar Negeri serta pandangan Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Menurut beliau, kebanyakan pelajar dari Sarawak berada di Jordan dan Mesir, terutamanya dalam bidang perubatan di Universiti Alexandria dan bidang keagamaan di Universiti Al-Azhar.

“Kita menunggu nasihat daripada Kementerian Luar Negeri sama ada keadaannya merbahaya atau tidak dan kalau Kementerian Luar Negeri bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan pandangan bahawa pelajar kita yang ada di Timur Tengah hendak dibawa keluar dan kita akan mengikut arahan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Dato Sri Mohd Naroden Majais di Kuching pada Selasa.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengumumkan bahawa pihak Kerajaan Sarawak sedang merangka kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam sektor perubatan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Menurut beliau, satu mekanisme pembayaran balik daripada Kerajaan Persekutuan telah disediakan untuk membolehkan kerjasama ini berlaku. 

Datuk Patinggi Abang Zohari berharap kerjasama ini akan bermula menjelang hujung tahun di mana beliau juga memaklumkan bahawa telah berbincang secara tidak formal dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni pada Isnin. 

“Semalam saya ada perbincangan secara tidak formal dengan Timbalan Menteri Kesihatan dan mereka sekarang sudah ada jawatankuasa untuk merangka mekanisme di mana kita membangun semula klinik.

“Kalau tangganya teruk, lantai tidak dibuat jadi saya kata roboh semua dan buat baru, peruntukannya kita bayar dahulu, kemudian Kerajaan Pusat bayar balik,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemimpin baharu Singapura, Premier Sarawak memberitahu kerajaan Sarawak menyambut baik perkara tersebut dan percaya bahawa kerjasama antara Singapura dan Malaysia khususnya Singapura-Sarawak akan berterusan dengan lancar. 

Beliau menekankan perlunya kerjasama dalam bidang tenaga dan perdagangan antara kedua-dua pihak. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS