Pembinaan Tembok Sungai Tangani Masalah Hakisan Tebing Sungai

Disiarkan pada 05 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pembinaan tembok sungai daripada Kampung Lintang ke Kampung Tupong bakal melindungi beberapa kawasan perkampungan daripada masalah hakisan tebing sungai.

 

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, projek tersebut merupakan kesinambungan daripada projek tembok sungai daripada Kampung Bedil ke Kampung Lintang yang sepanjang 680 meter.

 

“Kawasan perkampungan yang terlibat adalah Kampung Tanjung, Kampung Tupong, Kampung Tupong Batu, Kampung Tupong Tengah dan Kampung Sinjan.

 

“Kos keseluruhan siling projek telah meningkat kepada RM34 juta berbanding RM25 juta selepas pertambahan RM9 juta yang diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Dialog dan Majlis Serah Tapak Projek Cadangan Tembok Sungai dari Kampung Lintang ke Kampung Tupong di sini pada Khamis. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menambah, skop projek juga melibatkan komponen pembinaan seperti laluan pejalan kaki, bangku tempat duduk, lampu jalan, pagar penghadang dan kerja landskap.

 

“Ia juga merangkap pembinaan lima tanjakan kawalan jauh untuk menggantikan jeti sedia ada, pembinaan jambatan pejalan kaki merentasi Sungai Sinjan Besar, pembaikpulihan jalan sedia ada

 

“Kerja yang terakhir adalah menaiktaraf sistem pembentungan bagi rumah-ruman yang berdekatan dengan struktur penahan hakisan tebing,” ujarnya.

 

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Lembangan, Sungai dan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Ir Noor Salmah Reduan. -EDISI UKAS