KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Sarawak telah mencapai kejayaan penting dengan menyelesaikan 946 permohonan Perkara 15A yang tertangguh lama selain mempercepatkan proses berkaitan kewarganegaraan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata penubuhan JKKSK yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri telah memberikan impak positif.
Katanya, dalam mesyuarat pada 17 Ogos 2024, sebanyak 306 permohonan telah dibentangkan.
"Dari jumlah tersebut, 225 permohonan iaitu 74 peratus, telah diluluskan manakala 81 permohonan telah ditolak.
"Antara sebab penolakan adalah kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapa dalam mendaftar perkahwinan sah di Malaysia semasa berurusan dengan konsulat asing, yang mengakibatkan beberapa anak tidak sah taraf gagal dalam permohonan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat JKKSK Perkara 15A Peringkat Sarawak di sini pada Khamis.
Tambahnya, kuasa untuk meluluskan permohonan masih terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala JKKSK bertanggungjawab untuk membuat verifikasi terhadap permohonan yang dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.
Dalam mesyuarat terbaru ini, JPN Sarawak telah membentangkan 10 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A termasuk lapan permohonan untuk Anak Tidak Sah Taraf dan dua permohonan untuk Anak Jagaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua. -EDISI UKAS