BANGKOK: Sarawak mempunyai potensi untuk penanaman kelapa aromatik yang semakin mendapat permintaan global.
Pakar Pertanian Industri Kelapa Aromatik Thailand, Nuanla- Or Dherdkiattikum berkata, spesies Nam Hom merupakan kelapa aromatik terbaik dan sesuai untuk ditanam di kawasan khatulistiwa termasuk Sarawak.
"Namun di Thailand kami tidak mempunyai tanah yang mencukupi untuk penanaman kelapa ini.
"Dan sudah tentu, kami kini melihat Sarawak adalah kawasan yang paling berpotensi," ujarnya.
Beliau memaklumkan perkara tersebut dalam taklimatnya kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta rombongan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) semasa lawatan seminggu ke negara itu, pada Khamis.
Tambah Nuanla, pada tahun lepas pasaran kelapa aromatik mencapai angka USD3.82 bilion.
"Air kelapa menjadi pilihan popular dalam kalangan penggiat kecergasan dan pengguna yang mementingkan kesihatan.
"Bukan itu sahaja, permintaan terhadap produk berasaskan tumbuhan dan sumber semula jadi juga menjadi faktor utama untuk permintaan mampan industri ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Nuanla dibantu oleh seorang profesor universiti, Profesor Tuanchai mula menanam kelapa aromatik Nam Hon pada 2017.
Beliau yang telah yang memenangi pelbagai anugerah mempunyai ladang seluas 1.6 hektar dengan kira-kira 400 pokok di Wilayah Ratchaburi.
Beliau juga mengusahakan sisa ladang dijadikan arang bio dan batu bata geopolimer berliang.
Selain itu, Nuanla turut menubuhkan sebuah akademi untuk tujuan latihan, lawatan, perundingan dan penyelidikan serta pembangunan.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Timbalan Pengerusi BDDA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong dan Batang Lupar Dr Richard Rapu dan Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor. -EDISI UKAS