KUCHING: Duta Besar Ireland ke Malaysia, Orla Tunney selamat tiba di Kuching untuk lawatan kerja rasmi selama tiga hari bermula Rabu.
Ketibaan Orla di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4 petang telah disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
Pada Khamis, beliau dijadual menghadiri mesyuarat bersama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn di Menara LCDA pada jam 8.45 pagi dan seterusnya meneruskan lawatan ke Muzium Sejarah Semulajadi di Taman Budaya Kuching.
Sejurus selepas itu, Orla bersama rombongan kemudiannya dijadual mengadakan lawatan kerja ke Unimas di Kota Samarahan pada jam 2.30 petang.
Pada Jumaat, beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli di Bangunan Yayasan Sarawak Wisma Adenan pada jam 9.30 pagi.
Manakala pada sebelah petang pula, Orla dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada jam 4.35 petang dengan menaiki pesawat komersial. -EDISI UKAS