BDDA Berhasrat Pelajari Kepakaran Pembangunan Pertanian Thailand

Disiarkan pada 04 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


BANGKOK: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) berhasrat untuk mempelajari kepakaran pembangunan pertanian Thailand.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi BDDA Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan iklim Sarawak dan negara itu hampir sama.

"Thailand terkenal dengan industri makanannya yang sangat maju, bermula daripada bahan penanaman sehinggalah kepada rangkaian pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.

"Kita mendapati bahawa Thailand mempunyai keseluruhan rantaian bekalan yang sangat canggih dan ini yang kita perlu contohi.

"Selain itu, Thailand mempunyai rangkaian pasaran di seluruh dunia yang membantu petani menjual produk mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebelum mengetuai rombongan BDDA melawat Wilayah Ratchaburi yang terkenal dengan spesis kelapa aromatik, mangga, jambu batu, nanas dan buah-buahan tropika lain.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pemasaran merupakan pekara yang penting yang menjadi isu besar dalam memasarkan hasil pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan petani.

"Oleh demikian, kita melihat program lawatan ini memberi pendedahan yang sangat baik dan pengalaman kepada BDDA.

"Hasil program ini dapat membantu petani di Betong termasuk berkaitan komersial dan pemasaran produk mereka ke luar negeri," tambahnya.

Beliau juga berkata, matlamat utama BDDA adalah mencari jalan dan kaedah untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Tetapi kita perlu mempunyai perancangan, bimbingan dan pengurusan yang betul bagi keseluruhan rantaian bekalan supaya ianya bukan sahaja memberikan kuantiti tetapi juga kualiti.

“Kita ada tanah, kita ada rakyat yang tidak asing dengan kerja keras.

"Kita juga mempunyai usahawan tani yang bersedia untuk bekerjasama dengan pelabur," katanya.

Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Sarawak kini diiktiraf sebagai hab tenaga hijau yang akan menjadi satu lagi faktor positif untuk menarik pelabur.

Sementara itu, dalam lawatan ke Pusat Inovasi Makanan Betagro pada Selasa, beliau menyifatkan lawatan itu memberi hasil positif kepada mereka.

"Betagro ialah syarikat agro makanan bertaraf dunia yang ditubuhkan 57 tahun lalu.

"Perniagaan utamanya ialah membangunkan dan menginovasi produk makanan dengan rantaian bekalannya yang bermula dari ladang ke rumah penyembelihan ternakan, pemprosesan, pembungkusan dan terakhir ialah pembungkusan dan pemasaran.

"Betagro sentiasa berinovasi dan membangunkan produk makanan untuk disesuaikan dengan gaya hidup moden dan masa depan.

"Mereka juga mengusahakan penternakan pintar, pembiakan ternakan bebas antibiotik serta makmal kelas dunianya sendiri dan langkah biosekuriti," ujarnya.

Untuk rekod, syarikat itu mengeksport produk ke lebih 20 negara di seluruh dunia dan mempunyai 34,000 pekerja di 150 kemudahan pengeluaran dan memiliki 35 anak syarikat.

Pada tahun lepas, mereka mencatatkan pendapatan sebanyak USD3.15 bilion.

"Kita tidak sabar untuk bekerjasama dengan Betagro dalam memasarkan produk kita melalui kepakaran, inovasi dan pasaran mereka.

"Tetapi pertama sekali, kita mesti mempunyai bukan sahaja kuantiti tetapi kualiti juga," tambah Datuk Amar Douglas Uggah.

Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Timbalan Pengerusi BDDA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong dan Batang Lupar Dr Richard Rapu dan Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Krian Friday Belik dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor. -EDISI UKAS