Dato' Sri Huang Santuni Penduduk Rumah Panjang Di Kawasan DUN Repok

Disiarkan pada 04 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sarawak Dato' Sri Huang Tiong Sii telah menyantuni penduduk di 11 buah rumah panjang di kawasan Sungai Petai, Sungai Bulat, Sungai Selangan, Sungai Anyit dan Jalan Kwong Ming Minah baru-baru ini.

Antara rumah panjang yang dikunjungi termasuk Rumah Pitre Ambit, Rumah Jugah Dunggat, Rumah Nyalau Mamat, Rumah Bansa Nanggal, Rumah Banun Ansi, Rumah Sabah Sawong, Rumah Ugil Rebai, Rumah Simon Tedong, Rumah Rampai Timbang, Rumah Gimang Jandan dan Rumah Saka Angin.

Dalam lawatan ini, Dato' Sri Huang mengambil kesempatan untuk mendengar dan memahami sentimen masyarakat setempat, menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk rumah panjang serta merangka pelan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk rumah panjang di kawasan beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menunjukkan keprihatinan terhadap keadaan rumah panjang dan telah memperuntukkan dana bagi kerja-kerja membaik pulih, termasuk menggantikan bumbung, lantai, siling, tikar, kipas, palung air hujan dan lain-lain keperluan asas.

Menurutnya, sokongan ini telah memberikan beliau peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Dato' Sri Huang turut menegaskan bahawa pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar di sekitar Sarikei sedang giat dijalankan, termasuk penambahbaikan jalan raya dan sistem perparitan bagi tujuan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan penjagaan yang sewajarnya.

Katanya, di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerajaan telah memperuntukkan dana untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas, pembangunan agama, pembinaan sekolah serta usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. -EDISI UKAS