DARO: Pasukan Melani ft muncul juara Pertandingan Futsal Terbuka Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Daro yang berakhir Ahad lepas.
Ia selepas kejayaan menewaskan Adamaya Ft, sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000, piala serta medal.
Sebanyak 40 pasukan berentap untuk merebut gelaran juara KASUS Saberkas Cawangan Daro pada saingan kali ini.
Penyertaan yang melibatkan penyertaan dari luar kawasan menjadikan pertandingan ini menarik dan mendapat sambutan yang baik.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Gelanggang Futsal Kampung Tebaang, Daro pada Ahad lepas.
Semasa ditemui pemberita, beliau menyatakan aktiviti ini menjadikan platform untuk para belia beriadah dan mengelak daripada gejala-gejala yang tidak sihat.
Beliau juga memuji Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Daro yang begitu aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dan berjaya melaksanakan lima aktiviti sukan yang dipertandingkan termasuklah sukan futsal ini.
Hadir sama Exco SABERKAS Negeri Sarawak Mohd Faizal Jamiludin, Ketua Kaum Kampung Tebaang Hilir Liman Shahjuan, Ketua Kaum Kampung Tebaang Hulu Jaafar Rasdi, Ahli Majlis Kaunselor Adykuniawan Abdullah dan Kaunselor Hamden Taha. -EDISI UKAS